SERDANG,UPM- Pada 25 April 2024 bersamaan hari Sabtu, Sekretariat Akademik, Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) Sesi 2023/2024 dengan kerjasama Pengurusan Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah telah menganjurkan Malam Gemilang Akademik (MGA) yang bertempat di Dewan Kenyalang, KOSASS serta mengadakan Youtube LIve KOSASS Channel bermula jam 8.00 malam hingga 10.30 malam. Majlis ini diadakan untuk meraikan kejayaan warga KOSASS yang telah mendapat keputusan cemerlang pada Semester 1 Sesi 2023/2024.
Menurut pengarah program, iaitu saudari Nur Khaliesah Rosaria binti Jasmin, objektif majlis ini diadakan adalah untuk meraikan pencapaian dan memberi penghargaan kepada para pelajar yang telah mendapatkan keputusan cemerlang dalam bidang akademik. Oleh itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada para kolegiat KOSASS kerana telah berjaya membuktikan kecemerlangan dalam bidang akademik. Katanya lagi, dalam kesibukan kita memenuhi keperluan akademik dan kokurikulum, haruslah diingatkan bahawa kesihatan kita amatlah penting. Justeru beliau menyeru semua mahasiswa untuk sentiasa menjaga kesihatan fizikal mahupun mental. Beliau berharap bahawa anugerah dan penghargaan pada Malam Gemilang Akademik (MGA) ini dapat membakar semangat seluruh warga KOSASS untuk terus cemerlang di dalam bidang akademik serta diharapkan kerjasama dan komitmen yang terjalin dalam majlis ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang.
Tarikh Input: 12/06/2024 |
Kemaskini: 12/06/2024 | zulkif
PERKONGSIAN MEDIA