SERDANG, UPM - Pasukan ragbi Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) B telah berjaya merangkul gelaran johan dalam Kejohanan Sukan Kolej Universiti Putra Malaysia (SUKPRA) bagi Ragbi 15’s setelah berjaya menumpaskan pihak lawan, Kolej Canselor pada pusingan akhir. Perlawanan ini telah diadakan pada 29 Mei 2024 (Rabu) jam 5.00 petang bertempat di Padang Ragbi B, UPM.
Kegagahan yang tak disangkal lagi telah membuktikan kemampuan mereka dalam acara ini sejak awal kejohanan berlangsung. Keputusan yang diperoleh sentiasa meletakkan pasukan KOSASS di kedudukan yang cemerlang. Untuk makluman, KOSASS telah menghantar dua buah pasukan iaitu KOSASS A dan KOSASS B di mana masing-masing terdiri daripada 20 orang pemain yang memberikan sepenuh tumpuan dalam latihan yang berlangsung selama 2 minggu yang bertempat di Padang Ragbi B. Secara keseluruhan, KOSASS A berjaya ke Separuh Akhir dengan memenangi perlawanan menentang Kolej 12 dan Kolej Mustafa Babjee manakala KOSASS B meraih kemenangan besar menentang Kolej 14, Kolej Pendeta Zaaba, Kolej Sepuluh B, Kolej Sepuluh A dan akhir sekali, Kolej Canselor. Majlis penyampaian hadiah bagi Ragbi 15's ini telah disempurnakan oleh Encik Muhammad Bazli Bin Kamaruddin, Pegawai Tadbir, Akademi Sukan UPM.
Kejayaan ini juga tidak dapat dicapai tanpa jurulatih yang sentiasa komited dalam memberikan sokongan dan dorongan kepada para pemain, iaitu Encik Abdul Wahid bin Saharudin yang merupakan tulang belakang dan orang penting bagi pasukan ragbi KOSASS. Beliau bersungguh mengendalikan strategi dan memastikan pemain menjalani latihan ‘fitness’ yang sudah semestinya membuahkan hasil yang lumayan dengan kemenangan besar ini.
Menurut saudara Muhammad Aqil Iqbal bin Mohd Jamil, selaku Sekreteriat Sukan dan Rekreasi, Majlis Perwakilan Kolej (MPK), KOSASS, beliau menzahirkan rasa bangga atas kesungguhan sekaligus pencapaian cemerlang yang telah ditonjolkan oleh para pemain yang telah membuktikan bahawa kolegiat KOSASS mempunyai bakat dan semangat yang luar biasa dalam bidang sukan. Beliau berharap agar kecemerlangan ini menjadi pemangkin kepada semua kolegiat untuk menceburi bidang sukan selari dengan akademik supaya momentum ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada kedua-dua pasukan ragbi KOSASS yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam pertandingan ini. Semoga kejayaan ini dapat menarik minat lebih ramai kolegiat KOSASS untuk melibatkan diri dalam sukan ragbi dan seterusnya mampu memajukan industri sukan ragbi di Malaysia.
Tarikh Input: 12/06/2024 |
Kemaskini: 12/06/2024 | zulkif
PERKONGSIAN MEDIA