KOSASS NAIB JOHAN DALAM ACARA BOLA TAMPAR LELAKI | KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
» BERITA » KOSASS NAIB JOHAN DALAM ACARA BOLA TAMPAR LELAKI

KOSASS NAIB JOHAN DALAM ACARA BOLA TAMPAR LELAKI

SERDANG,UPM- Satu lagi kejayaan membanggakan buat KOSASS apabila pasukan bola tampar lelaki berjaya meraih pingat perak dalam Perlawanan Bola Tampar Kejohanan Sukan Kolej Universiti Putra Malaysia (SUKPRA). Perlawanan ini telah diadakan pada 26 Mei 2024 iaitu pada hari Ahad bertempat di Akademi Sukan, Universiti Putra Malaysia.
Pasukan yang terdiri daripada 10 orang pemain handal bola tampar ini telah menjalani latihan intensif sejak seminggu sebelum perlawanan berlangsung yang mengambil tempat di Gelangggang Astaka Seni pada waktu petang. Kejayaan pasukan ini juga merupakan berkat tunjuk ajar dan didikan jurulatih mereka iaitu Tuan Firdaus atau lebih mesra dengan panggilan Tuan Pidot. Beliau yang juga merangkap felo blok Pelanduk dan penolong pegawai Belia dan Sukan di Akademi Sukan telah banyak membantu dari segi merangka gerak permainan, bentuk serangan dan pertahanan serta memberi sokongan moral secara berterusan.
Pada peringkat awal, pasukan KOSASS B telah menumpaskan pasukan KC A dan K10 B dalam perlawanan berkumpulan. Kemenangan ini seterusnya melayakkan pasukan KOSASS B berentap di pusingan suku akhir menentang pasukan KTAG dan turut berjaya menumbangkan taktikal pihak lawan dengan kelebihan mata sebanyak 31-23. Pasukan KOSASS B sekali lagi menjulang nama kolej apabila menang secara tipis ke atas pasukan K12 B di peringkat separuh akhir dengan mata 31-30. Namun, kemenangan tidak berpihak kepada pasukan KOSASS B apabila ditundukkan oleh pasukan K10 A dengan mata 16-25 dan 18-25 di peringkat akhir. Hadiah bagi perlawanan ini telah disampaikan oleh Pengurus Kejohanan SUKPRA, Tuan Faizol Ikmal diiringi oleh Tuan Firdaus.
Saudara Hadieff Fathullah bin Shamshor yang merupakan salah seorang pemain pasukan KOSASS B ketika ditemu bual menzahirkan rasa bangga kerana akhirnya KOSASS dapat mencipta sejarah apabila layak ke peringkat akhir berbanding tahun sebelumnya yang hanya menjejakkan kaki sehingga peringkat suku akhir sahaja. Beliau turut meluahkan harapan agar pasukan KOSASS dapat mengekalkan prestasi, keupayaan dan latihan yang mencukupi agar dapat merealisasikan impian untuk menjulang pingat emas dalam kejohanan sukan kolej pada sesi akan datang.
 
 
 
 

Tarikh Input: 12/06/2024 | Kemaskini: 12/06/2024 | zulkif

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1980/1978
-
W, (10:38:48pm-10:43:48pm, 16 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]