SERDANG, UPM - Sekretariat Kelestarian Hijau dan Keterjaminan Makanan, Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) Sesi 2023/2024 dengan kerjasama Kelab Projek Gempur Tani KOSASS (PGTK) telah menganjurkan Program AGROSHARE KOSASS yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 6 Disember dan 7 Disember 2024. Pada 6 Disember, program ini berlangsung dari 8 malam sehingga 11 malam di Balai Minda KOSASS manakala pada 7 Disember, program ini bermula pada 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang di Tapak Pertanian A, Projek Gempur Tani KOSASS.
Pengarah program, saudara Muhammad Afizzudin Bin Mohamad Azli menjelaskan bahawa AGROSHARE KOSASS yang sebelumnya, dikenali sebagai Bengkel Tani KOSASS (BETA) adalah bertujuan untuk berkongsi ilmu pertanian bagi memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai asas pertanian kepada kolegiat khususnya ahli kelab PGTK. Hal ini supaya aktiviti kelab pada masa hadapan dapat dijalankan dengan lebih lancar.
Pada hari pertama, 6 Disember, program diisi dengan penyampaian ilmu asas pertanian yang dibentangkan oleh En. Ahmad Alfan Hidayat Bin Ahmad Khalili, selaku Pegawai Pertanian Pusat Pertanian Putra. Beliau telah berkongsi tentang asas pertanian seperti kaedah pertanian, cara pembajaan, cara kawalan penyakit dan cara kawalan serangga perosak tanaman. Dalam sesi ini juga, beliau telah menerangkan tentang kelebihan baja organik dan jenis-jenis baja yang boleh digunakan pada tanaman.
Seterusnya pada 7 Disember, En. Shuhaimi bin Ab Rahim yang juga merupakan Pegawai Pertanian dari Pusat Pertanian Putra telah memberi perkongsian tentang pembuatan dan manfaat E.M (Effective Microorganism) kepada tanaman. Pada slot ini, ahli kelab PGTK berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman pembuatan E.M sebagai pengalaman praktikal. Saudara Afizzudin berkata “Persiapan untuk slot pembuatan E.M ini amat dititik beratkan dek kerana penggunaan 20 kg nanas diperlukan disamping air yang telah ditakung selama 7 hari, susu segar yang diperam selama 7 hari, yis, yakult, dan molasses.”
Dengan itu, ahli kelab PGTK diharapkan untuk dapat mengaplikasikan ilmu yang telah dikongsi oleh barisan penceramah semasa aktiviti pertanian pada masa yang akan datang. Diharapkan agar pengetahuan baharu ini juga dapat menambah kualiti pertanian serta meningkatkan hasil pertanian Kelab PGTK.
Tarikh Input: 10/01/2025 |
Kemaskini: 10/01/2025 | zulkif
PERKONGSIAN MEDIA