MENEROKAI BUDAYA DALAM PERJALANAN SAWADEE KOSASS-THAI NEXUS | KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH kosass
» BERITA » MENEROKAI BUDAYA DALAM PERJALANAN SAWADEE KOSASS-THAI NEXUS

MENEROKAI BUDAYA DALAM PERJALANAN SAWADEE KOSASS-THAI NEXUS

 

 

 

UNIVERSITI THAKSIN, KAMPUS SONGKHLA, THAILAND – Pada 17 hingga 23 Ogos 2024 telah diadakan Program KOSASS-Thai Nexus yang merupakan salah satu Mobiliti Outbound Program yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Kolej Sesi 2023/2024 bertempat di Universiti Thaksin, Kampus Songkhla, Thailand. Seramai 39 peserta daripada kolegiat Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) menyertai program ‘KOSASS-Thai Nexus’ disambut baik dan mesra oleh pengurusan, pensyarah, pelajar termasuk Timbalan Dekan dari Universiti Thaksin, Kampus Songkhla. Delagasi KOSASS telah diketuai oleh Pegawai Tadbir, Pn. Nur Fazrina Ismail dan Ketua Felo KOSASS, En. Ahmad Alfan Hidayat.

KOSASS-THAI NEXUS bertujuan untuk memberi pendedahan ilmu baharu kepada pelajar KOSASS tentang budaya dan adat masyarakat luar di peringkat antarabangsa. Hal ini juga seiring dengan Pelan Strategik H.E.P.A dalam mencapai teras pengantarabangsaan. Pengalaman dan pendedahan pelajar melalui aktiviti pengantarabangsaan dapat memberi nilai tambah kepada kompetensi global dan daya saing antarabangsa. Melalui inisiatif ini, pelajar dapat menyumbang tenaga dalam program mobiliti, mengadakan program pemindahan ilmu, berkolaborasi antarabangsa dan meningkatkan visibliti mereka melalui saluran media. Ini sejajar dengan tiga domain dalam Teras Pengantarabangsaan iaitu pemindahan ilmu, rangkaian antarabangsa dan keterlihatan. Nexus di dalam konteks ini merujuk kepada usaha untuk mewujudkan jaringan dan kerjasama yang kukuh antara KOSASS dengan Universiti Thaksin di Thailand.

   

   

 

Pada awal program ini, peserta KOSASS telah mengunjung serta membuat lawatan di sekitar kampus yang ada di Universiti Thaksin bagi melihat suasana dan budaya Pendidikan di Thailand. Pensyarah di Universiti Thaksin juga telah membentangkan sistem Pendidikan secara keseluruhan Universiti Thaksin kepada peserta KOSASS. Selain daripada itu, peserta juga telah membuat lawatan ke Folklore Museum The Institute for Southern Thai Studies berdekatan dengan Universiti Thaksin. Muzium ini terkenal sebagai institusi utama yang melestarikan warisan budaya dan tradisi masyarakat Selatan Thailand. Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan mendalam kepada pelajar tentang sejarah, seni, dan cara hidup masyarakat tempatan. Lawatan dimulakan dengan taklimat oleh kakitangan muzium. Mereka memberikan penerangan mengenai objektif muzium dan koleksi artifak yang dipamerkan, yang meliputi pelbagai aspek kehidupan masyarakat Selatan Thailand seperti seni ukiran, pakaian tradisional, peralatan pertanian, dan instrumen muzik. Pelajar berpeluang menjelajahi beberapa galeri utama yang memaparkan, Kesenian dan Kraf Tradisional seperti Koleksi ukiran kayu, tekstil tradisional, dan barangan seramik. Selain itu, alat muzik tradisional dan keperluan kehidupan harian komuniti seperti peralatan dapur, peralatan menangkap ikan, dan replika rumah tradisional.


Lawatan ini memberikan pemahaman mendalam tentang kehidupan masyarakat Selatan Thailand, termasuk nilai-nilai tradisional, seni, dan adat resam yang diwarisi dari generasi ke generasi. Melihat koleksi artifak dan demonstrasi langsung membantu pelajar menghargai kepelbagaian warisan budaya di rantau ini. Pelajar mendapati banyak persamaan antara tradisi masyarakat Selatan Thailand dan Malaysia, terutamanya dalam aspek seni, makanan, dan gaya hidup. Ini mengukuhkan rasa persaudaraan serumpun. Lawatan ini memberi inspirasi kepada pelajar untuk lebih aktif dalam memelihara dan mempromosikan budaya mereka sendiri, khususnya dalam era globalisasi.

      

 

 

        

 


Dalam program ini, peserta KOSASS juga berpeluang untuk mempelajari dan mencuba dua jenis makanan tradisional dari Thailand iaitu Tom Yum Thai dan pencuci mulut tradisional Thai iaitu Khanom Tom yang dikenali sebagai onde-onde. Walaupun onde-onde juga dikenali di Malaysia, terdapat perbezaan kecil dalam cara pembuatannya, seperti bahan dan teknik mengadun tepung. Sesi pengenalan budaya bermula dengan demonstrasi cara membuat Tom Yum oleh pelajar Thailand. Mereka menerangkan penggunaan bahan-bahan dan Teknik dalam menciptakan rasa Tom Yum asli. Para pelajar UPM diberi peluang untuk turut serta dalam proses memasak. Makanan di Thailand dan Malaysia berkongsi persamaan dalam penggunaan bahan seperti santan, cili, herba, dan rempah ratus. Walaupun begitu, terdapat perbezaan unik dalam penyediaan dan rasa. Masakan Thailand sering menonjolkan keseimbangan rasa manis, masam, pedas, dan masin, manakala masakan Malaysia kaya dengan rempah yang memberikan aroma dan rasa yang mendalam.

     

     

      

 

Selain itu, pelajar Thailand turut mengajar cara menghasilkan onde-onde, yang diperbuat daripada tepung pulut, inti gula melaka, dan kelapa parut.
Setelah proses memasak selesai, kedua-dua pihak bersama-sama menikmati makanan yang telah disediakan iaitu Sup Tom Yum yang pedas dan harum memikat selera, manakala onde-onde yang manis menjadi pencuci mulut yang sempurna. Aktiviti ini bukan sahaja memperkenalkan makanan tradisional di Thailand tetapi juga mengeratkan hubungan antara pelajar UPM dan pelajar Universiti Thaksin. Pada akhir program, sesi bergambar dijalankan dan bendera logo KOSASS juga turut diberi kepada pengurusan Universiti Thaksin sebagai tanda kenang-kenangan.

Pengalaman ini memberi pendedahan berharga kepada peserta KOSASS untuk memahami dan menghargai keunikan adat dan budaya di negara Thailand.  Menurut Pengarah program KOSASS-Thai Nexus ,Saudara Ismasyazwi, program ini bertujuan memperkukuh hubungan antara KOSASS dan Universiti Thaksin melalui kolaborasi akademik dan kebudayaan. "Kami berharap jalinan kerjasama ini akan terus berkembang dengan lebih banyak program kolaborasi pada masa hadapan," ujar Timbalan Dekan Universiti Thaksin dalam ucapan terakhirnya serta beliau juga menyatakan penghargaan atas inisiatif ini dan berharap hubungan dua hala ini terus membawa manfaat kepada kedua-dua institusi. Laporan ini menggariskan pengalaman sekumpulan pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah menjalani program mobiliti ke Universiti Thaksin dengan fokus pada pertukaran budaya makanan dan pendidikan.

 

      

    

 

Tarikh Input: 26/02/2025 | Kemaskini: 27/02/2025 | zulkif

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1980/1978
-
W, (03:17:37am-03:22:37am, 10 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]