MENGUKUH IDENTITI, MENCIPTA LEGASI | KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
» BERITA » MENGUKUH IDENTITI, MENCIPTA LEGASI

MENGUKUH IDENTITI, MENCIPTA LEGASI

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
SERDANG, UPM - Pada malam 13 November 2024, Balai Minda Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah, Universiti Putra Malaysia menjadi saksi kepada satu usaha signifikan dalam memperkasakan kemahiran ahli Kelab Kosass Flash Unit (KFU) melalui Bengkel Pemerkasaan Dalaman yang dianjurkan dengan penuh semangat. Program ini bukan sekadar aktiviti tahunan malah menjadi pemangkin untuk meningkatkan kemahiran ahli kelab dalam pengurusan majlis dan multimedia. Setiap sesi yang dijalankan malam ini, daripada ceramah kepada slot perkongsian, adalah peluang untuk semua ahli KFU belajar dan bercambah.
Majlis disempurnakan dengan kehadiran tetamu kehormat, Encik Ahmad Alfan Hidayat Bin Ahmad Khalili, Ketua Felo Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah, yang merasmikan bengkel ini dengan kata-kata dorongan yang penuh inspirasi. Beliau mengingatkan para peserta bahawa betapa pentingnya membina asas yang kukuh dalam apa jua bidang yang diceburi, serta menekankan bahawa setiap langkah kecil yang diambil oleh setiap ahli akan membawa perubahan besar kepada masa depan KFU.
Pengarah program, Saudari Husnina binti Mohamed Ridzuan, turut berkongsi harapan beliau untuk ahli KFU melalui bengkel ini. Objektif bengkel yang berpaksikan untuk memberi ilmu berkenaan unit multimedia dan pengurusan majlis serta memberi gambaran jelas tentang skop kerja unit pengurusan majlis dan unit multimedia. Selain itu, program ini merupakan satu inisiatif untuk menyatukan ahli kelab dalam usaha membina keyakinan diri dan menimba kemahiran baru yang diharapkan dapat mengangkat martabat kelab serta memperkukuhkan semangat setia kawan dalam organisasi.
Sesi-sesi perkongsian yang dibawakan oleh penceramah jemputan, Encik Mohamad Norfarhan Bin Norzaini yang telah banyak berkongsi tentang multimedia dan memberi pengenalan tentang modul bahan promosi korporat UPM. Selain itu, Lt. M Muhammad Amirul Asyraf bin Mohd Jais selaku panel jemputan bagi slot pengurusan majlis turut berkongsi pengetahuan beliau mengenai pengurusan majlis kepada para peserta bagi meneroka potensi dalam ahli KFU. Beliau telah menitikberatkan tentang kepentingan etika dan protokol sesebuah majlis itu. Terdapat demonstrasi yang telah dilaksanakan, antaranya menunjukkan contoh susunan tempat duduk bagi tetamu-tetamu khas jemputan.
Di samping itu, perkongsian pengalaman oleh alumni kelab, Saudari Nurul Ain Aqilah binti Zulkifli, menjadi bukti bahawa penglibatan ahli dalam KFU mampu mengilap potensi diri berdasarkan bidang yang dipilih. Beliau juga telah menegaskan bahawa betapa pentingnya disiplin yang perlu diterapkan kepada semua ahli KFU bagi melancarkan sesebuah program itu. Sebagai contoh, pengalaman yang telah dikongsikan adalah semasa beliau mengendalikan Majlis Apresiasi Semai Budi (MASEB) yang telah berjalan dengan lancarnya. Kesungguhan dan komitmen yang tinggi ditunjukkan oleh beliau telah menjadikan majlis ini satu kejayaan yang membanggakan dan memberi impak yang positif kepada semua pihak yang terlibat.
Dengan kehadiran 67 orang ahli, Bengkel Pemerkasaan Dalaman ini turut menjadi medan pertemuan untuk menyemai kefahaman berdasarkan kepelbagaian unit dalam organisasi. Sesi interaktif yang diadakan bukan sahaja memperkukuh hubungan antara ahli tetapi juga membangunkan kemahiran komunikasi dan kerjasama yang penting dalam pengurusan organisasi. Melalui aktiviti berkumpulan dan sesi soal jawab bersama penceramah, para peserta dapat menyuarakan pandangan dan idea mereka, sekaligus mewujudkan suasana keterbukaan antara satu sama lain.
Dengan ilmu baharu yang diperolehi melalui bengkel ini, diharapkan agar ahli KFU mendapat semangat yang baharu dan menjadi panduan untuk mereka meneruskan aktiviti-aktiviti kelab pada sesi ini.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Tarikh Input: 18/11/2024 | Kemaskini: 18/11/2024 | zulkif

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7358/ 7384
-
F, (05:24:23pm-05:29:23pm, 19 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]