PELAKSANAAN AUDIT EKSA | KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
» BERITA » PELAKSANAAN AUDIT EKSA

PELAKSANAAN AUDIT EKSA

 
 
SERDANG, UPM - Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) telah selesai menjalani penilaian pengauditan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) pada 10 Januari 2024 (Rabu) oleh juruaudit yang telah ditetapkan. EKSA ini diadakan bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kerja kondusif yang berimej korporat, kreatif dan berinovasi dengan penerapan amalan kelestarian hijau. Pelaksanaan EKSA di KOSASS ini juga sejajar dengan perubahan dan kehendak semasa yang menekankan peningkatan prestasi dan daya saing organisasi serta memperkasakan budaya kreatif dan inovatif dalam kalangan kolegiat KOSASS.
 
 
 
Sepanjang pengauditan tersebut, pelbagai tumpuan diberikan kepada aspek yang ditekankan dalam kriteria EKSA antaranya ialah imej korporat, kreativiti dan inovasi, persekitaran kondusif serta amalan-amalan yang sedia ada dalam 5S iaitu aspek persekitaran kerja yang bersih, kemas, teratur dan selamat seiring dengan objektif EKSA itu sendiri.
Pelbagai inisiatif telah berjaya dilakukan oleh Pengerusi Blok bagi setiap blok kediaman untuk memenuhi kriteria EKSA pada kali ini antaranya, setiap blok mengadakan gotong-royong dan mengecat bilik bagi memastikan blok dalam keadaan kemas, tersusun dan selamat sebelum sesi penilaian EKSA. Dari aspek inovatif pula, terdapat inisiatif daripada pengerusi blok untuk menggunakan barangan terpakai bagi menghias kawasan sekeliling blok seperti penggunaan tayar kereta terpakai dijadikan sebagai pasu bunga dan juga bekas kotak makanan dijadikan hiasan di papan kenyataan blok.
Berkat kerjasama daripada felo di setiap blok dan juga pihak pengurusan KOSASS, maka terhasil lah transformasi sebuah kolej yang baharu dan selesa kepada kolegiat yang menginap. Bukan itu sahaja, melalui bantuan Pengerusi Blok juga, mereka telah berjaya memupuk semangat kerjasama dan sifat saling bantu membantu dalam kalangan kolegiat di blok, bahkan ia sedikit sebanyak telah menyemai rasa cinta dan sayang akan blok mereka. Semoga semua warga KOSASS mendapat manfaat daripada program EKSA yang dijalankan untuk mencapai hasrat universiti dalam menyokong usaha ke arah kelestarian hijau dan menceriakan persekitaran.

Tarikh Input: 22/01/2024 | Kemaskini: 22/01/2024 | zulkif

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7358/ 7384
-
SXFCBAn~