PERTANDINGAN PUTRA GOT TALENT | KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
» BERITA » PERTANDINGAN PUTRA GOT TALENT

PERTANDINGAN PUTRA GOT TALENT

 
 
Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Selangor (PERMAS) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan pertandingan Putra Got Talent pada 26 November 2023 bertempat di Pentas Utama, Pesta Konvokesyen, UPM bersempena dengan Pesta Konvokesyen UPM ke-47. Putra Got Talent merupakan satu pertandingan yang membuka peluang bagi pelajar untuk menyerlahkan bakat yang ada dalam diri mereka. Pertandingan ini telah dihadiri oleh Yang Berbahagia, Prof. Dr. Arifin bin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia.
KOSASS telah menghantar 2 pasukan untuk bertanding dalam acara ini yang terdiri daripada Saudari Siti Nurfarah Izzati Binti Razak, yang juga merupakan Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian, Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Sesi 2023/2024 telah membawa persembahan bertajuk ‘Aisyah: Monolog Seorang Graduan’ dan Kumpulan Pening yang telah mempersembahkan lagu berjudul ‘Bukan Mudah’. Persembahan teater monolog oleh Saudara Siti Nurfarah Izzati binti Razak telah berjaya dinobatkan sebagai Naib Johan bagi pertandingan Putra Got Talent sekali lagi mengharumkan nama KOSASS.
“Sejujurnya penyertaan saya dalam pertandingan ini adalah tidak dirancang namun apabila saya diberi peluang untuk menyertai Putra Got Talent saya mengambil keputusan untuk mempersembahkan teater monolog sebagaimana yang telah didedahkan kepada saya sewaktu menyertai pertandingan MAKUM.” kata Siti Nurfarah Izzati Binti Razak. Menurut Saudari Siti Nurfarah Izzati juga teater ‘Aisyah: Monolog Seorang Graduan’ diinspirasikan oleh dirinya sendiri. “Saya membayangkan apa yang akan saya lalui selepas saya bergraduat daripada Tingkatan 6 dan saya menyesuaikannya daripada Tingkatan 6 kepada setelah saya bergraduat sebagai seorang pelajar siswazah. Jadi saya telah masukkan sedikit elemen kerisauan dan kepenatan graduan untuk menghadapi cabaran di dunia luar.” sambung Siti Nurfarah Izzati Binti Razak lagi.
Pencapaian ini turut diraikan oleh tuan pengetua, Prof. Madya. Dr. Mohd. Mursyid bin Arshad sebagai tanda terima kasih atas kejayaan yang diraih. Tidak lupa juga kepada kolegiat yang turut hadir bagi bersama-sama menyokong peserta-peserta dari KOSASS.
Dengan adanya pencapaian ini, diharapkan agar kolegiat KOSASS dapat meneruskan lagi semangat perjuangan untuk memenangi pertandingan-pertandingan yang akan datang supaya dapat terus mengharumkan nama KOSASS.
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Tarikh Input: 27/11/2023 | Kemaskini: 27/11/2023 | zulkif

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7358/ 7384
-
SXFCEAZ~