SERDANG, UPM- Kelab Projek Gempur Tani KOSASS (PGTK), Sekretariat Sukarelawan dan Teknologi Hijau, Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Sesi 2023/2024 dengan kerjasama Kesatuan Mahasiswa, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Pertanian Putra (PPP) dan Pengurusan Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah telah menganjurkan PGTK Gempur Komuniti @ Pasir Gudang pada 27 April 2024 (Sabtu).
Menurut pengerusi kelab PGTK Saudari Nurul Iffah Nuriyyah, kebun komuniti Taman Mawar di Pasir Gudang dipilih oleh Kelab PGTK untuk program ini kerana prestasinya yang luar biasa dalam tempoh yang singkat. Dalam beberapa bulan, kebun ini telah mencapai kejayaan yang luar biasa dengan penjualan produk yang mengagumkan dan berjaya memperluaskan keluasan kebun hingga lima kali ganda dari asalnya. Selain itu, Kebun Komuniti Pasir Gudang juga merupakan agen peneraju dinamik yang memperkasakan tadbir urus ke arah penyampaian perkhidmatan yang baik agar dapat memenuhi permintaan pelanggan. Keaktifan komuniti dalam menanam pelbagai jenis sayuran dengan menggunakan kaedah hidroponik serta akuaponik turut menjadi faktor penentu dalam pemilihan ini. Keberhasilan Kebun Komuniti Taman Mawar menjadi inspirasi yang patut dicontohi oleh ahli Kelab PGTK.
Program ini telah memberi pendedahan serta ilmu dan pengetahuan dalam bidang pertanian. Keterlibatan dalam kerja komuniti telah memberi pendedahan dalam pelbagai aspek seperti penanaman pokok, penyemaian benih, pembuatan kompos dan penggunaan racun organik yang menyebabkan peserta memperoleh pemahaman yang lebih mendalam. Mereka juga belajar teknik mentransplantasikan pokok cili dan pokok terung ke dalam tanah, serta penghasilan racun organik bagi mengurangkan penggunaan bahan kimia. Oleh itu, pengetahuan yang diperoleh ini tidak akan hanya berguna dalam kerja kebun PGTK malah dapat diterapkan dalam kehidupan seharian di rumah.
Saudari Nurul Iffah Nuriyyah juga berhasrat agar jalinan kerjasama ini dapat diteruskan dalam masa akan datang. Beliau berharap agar program ini menjadi platform bagi pertukaran idea dan pengetahuan dalam bidang pertanian, lalu membantu memajukan aktiviti kelab pertanian ini. Selain itu, pengalaman peserta dalam program ini dapat digunakan sebagai aset bagi memajukan kelab dan membantu dalam memenuhi tanggungjawab bersama dalam memajukan sektor pertanian sebagaimana slogan, "Pertanian untuk Rakyat".
Tarikh Input: 16/05/2024 |
Kemaskini: 16/05/2024 | zulkif
PERKONGSIAN MEDIA