SERDANG, UPM - Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) Sesi 2023/2024 dengan kerjasama Kesatuan Mahasiswa, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) dan Pengurusan KOSASS telah menganjurkan KOSASS Lounge pada 27 dan 28 April 2024 pada jam 2.00 petang hingga jam 11.00 malam yang bertempat di Dewan Kenyalang, KOSASS. Program ini merupakan sebuah subprogram di bawah Mega Festival KOSASS (Mega FESKOS) 2024.
Menurut pengarah bagi program KOSASS Lounge iaitu saudara Muhammad Akif Hakim bin Norhisam, program ini merupakan suatu program yang berteraskan kepada hiburan bagi mengeratkan hubungan antara kolegiat KOSASS dan juga kolej-kolej yang lain. Terdapat pelbagai permainan yang telah dipilih untuk program ini seperti permainan papan ataupun ‘Board Games’ dan Playstation.
Terdapat 3 jenis permainan Playstation yang telah disediakan dan setiap permainan tersebut harus dimainkan di dalam mod ‘multiplayer’. Permainan papan juga telah divariasikan kepada pelbagai jenis seperti kad uno, karom, congkak dan lain-lain. Terdapat juga permainan ping pong yang merupakan suatu permainan tambahan.
Pemilihan masa iaitu pada jam 2.00 petang hingga jam 11.00 malam adalah bagi menyediakan suatu tempat berehat dan berhibur untuk kolegiat setelah menggunakan tenaga fizikal mereka ketika menyertai program-program sepanjang Mega FESKOS 2024 ini.
Bagi merealisasikan program ini, terdapat pelbagai cabaran yang telah ditempuhi seperti peminjaman dan pembelian barangan yang memerlukan sumber kewangan yang besar. Namun begitu, program ini masih diteruskan dengan kerjasama daripada pelbagai pihak. “Kita haruslah sentiasa yakin terhadap diri kita dalam menjayakan sesuatu perkara kerana perasaan gembira setelah selesai melalui cabaran tersebut tiada tandingannya”, kata saudara Muhammad Akif.
Tarikh Input: 15/05/2024 |
Kemaskini: 15/05/2024 | zulkif
PERKONGSIAN MEDIA