Mengkudu | KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
» ARTIKEL » Mengkudu

Mengkudu

NAMA POKOK     : MENGKUDU

NAMA SAINTIFIK : MORINDA CITRIFOLIA

 

Buah mengkudu juga dikenali dengan nama Morinda Citrifolia dalam bahasa Latin merupakan sepohon pokok yang bersaiz sederhana dan kebiasaannya tinggi pohon ini hanya mencapai antara tiga hingga 8 meter sahaja. Khasiat yang ada pada buah mengkudu ini telah lama diketahui sejak dahulu lagi dalam mengubati pelbagai penyakit dan membantu penjagaan kesihatan yang baik untuk semua lapisan umur masyarakat.

Keistimewaan buah ini adalah rupanya yang unik iaitu berkerutu dan seperti berbiji dan mempunyai sejenis bauan yang kuat seperti makanan yang sudah rosak, ini yang menyebabkan tidak ramai yang rela mencuba dan mengamalkan buah ini sebagai penawar kepada sebarang penyakit.

Walaupun baunya agak kuat dan kurang menyenangkan, buah mengkudu mengandungi pelbagai nutrient dan kebaikan tersendiri dalam membantu menjaga kesihatan kita seperti vitamin, zat seperti xeronine, proxeronine, steroid semula jadi, alizarin, sodium, dan sebagainya. Buah mengkudu juga mengandungi scopoletin berfungsi sebagai anti-bakteria dan anti-radang kepada tubuh badan kita.

Dalam merawat penyakit hipertensi, anti-radang yang ada pada buah mengkudu bertindak dalam menurunkan tekanan darah secara berkesan dan selamat untuk diamalkan. Ini kerana, tekanan darah tinggi berpunca daripada saluran darah yang sempit. Justeru, buah mengkudu mengandungi bahan yang mampu membantu melebarkan saluran darah menjadi sedia kala dan tekanan akan berkurangan sekaligus menurunkan tekanan darah.

Sumber Anti-oksida Semula Jadi

Akibat kekurangan vitamin dalam badan, ia akan menyumbang kepada toksik dan menjadikan ia sebagai radikal bebas dalam badan. Peredaran radikal bebas dalam badan berpunca daripada tekanan perasaan dan pencemaran yang berlaku disekeliling. Pembebasan radikal bebas secara berlebihan akan menyebabkan sistem imunisasi badan menjadi lemah.

Oleh itu, ia akan menjurus kepada pelbagai penyakit kronik seperti penyakit jantung dan kanser. Justeru, anda disarankan untuk mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan segar yang tinggi dengan kandungan anti-oksidan semula jadi terutama sekali buah mengkudu. Buah mengkudu diperkaya dengan kadar anti-oksidan yang tinggi berbanding buah-buahan lain seperti buah epal dan anggur.

Melancarkan peredaran darah

Terdapat beberapa kajian telah membuktikan bahawa buah mengkudu mengandungi bahan-bahan yang baik untuk kesihatan. Antaranya ialah asid amino tryptophan dan vitamin B kompleks iaitu vitamin B1, vitamin B2, vitamin B3, vitamin B5, vitamin B6 dan vitamin B12 yang berupaya menurunkan tekanan darah tinggi menjadi normal kembali. Ia adalah sebab utama kepada penyakit jantung dan pelbagai penyakit kronik.

Bagi melihat keberkesanan dalam pengambilan buah mengkudu, anda memerlukan tahap kesabaran dan mengamalkannya secara konsisten dalam membantu menurunkan tekanan darah. Pengambilannya juga perlu dijaga dan kuantiti yang dimakan haruslah betul supaya sistem peredaran darah menjadi lancar dan lebih baik daripada sebelumnya.

Pesakit jantung sangatlah digalakkan untuk mengamalkan pengambilan buah mengkudu sebagai penawar secara konsisten dalam memastikan keberkesanannya dalam merawat dan mencegah penyakit jantung.

 

Meningkatkan kesihatan jantung

Selain daripada melancarkan peredaran darah, buah mengkudu juga mampu meningkatkan kesihatan jantung secara menyeluruh. Lebih tepat, ia akan menjadikan jantung anda lebih sihat dan anda dapat melakukan sebarang aktiviti tanpa gangguan.

Ia mampu menjadikan otot-otot dalam saluran darah dan jantung lebih rileks dalam melaksanakan tugasan mengepam darah keseluruh tubuh dengan lebih baik dan sempurna. Dalam menjaga jantung, ia juga dapat menurunkan kadar kolestrol dalam darah dan mengawalnya supaya tidak berlebihan hingga menyebabkan berlaku mendapan pada dinding saluran darah.

Menurunkan tekanan darah tinggi menjadi stabil

Bagi anda yang menghidapi tekanan darah tinggi atau rendah, anda disarankan untuk mengambil buah mengkudu sebagai ubat semula jadi. Cara penyediaannya mudah, anda boleh makan buah mengkudu terus dengan hanya mengupas kulitnya terlebih dahulu dan makan begitu sahaja atau anda boleh rebus buah mengkudu menjadi lembut dan makan begitu sahaja.

Kandungan xeronine dalam buah mengkudu mempunyai manfaat yang baik dalam mengawal tekanan darah untuk kembali stabil dan normal seperti sedia kala. Kandungan scopoletin fitonutrien pula berupaya menggembangkan saluran darah yang telah sempit bagi memastikan paras tekanan darah kembali stabil dan tidak bekerja keras untuk mengepam darah keseluruh tubuh anda.

Manfaat dalam nutrisi

Manfaat buah mengkudu dalam membekalkan nutrisi yang lengkap kepada tubuh badan anda. Nutrisi yang anda boleh perolehi dalam buah mengkudu ialah protein, vitamin dan mineral penting. Selain itu, kandungan selenium yang ada dalam buah mengkudu merupakan ejen anti-oksidan terbaik dan semula jadi yang baik untuk kesihatan anda.

Kandungan Terpenoid dalam mengkudu amat berguna dalam membantu proses sintesis organik dan berupaya memperbaiki sel-sel dalam badan anda. Ia juga terkandung ejen anti-bakteria yang baik, di mana ejen aktif yang ada dalam mengkudu mampu membuuh bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan seperti jangkitan Pseudomonas aeruginosa, Staphylococcus aureus, dan Protant morganii, Escherichia coli serta Bacillus subtilis.

Sifat anti-bateria pada buah mengkudu juga amat berguna dalam mengawal bateria patogen (Bakteria yang mematikan sel) seperti S. typhi, Salmonella montivideo, dan S. scotmuelleri. Buah mengkudu juga mempunyai kandungan anti-kanser yang mana ia sangat berkesan menghapuskan sel-sel yang tidak normal dalam tubuh badan anda.

Cara mudah penyediaan Jus Mengkudu

Penyediaan jus mengkudu dengan menggunakan buah mengkudu muda. Campurkan buah mengkudu dengan air masak secukupnya ke dalam pengisar, kemudian kisarkan bahan tersebut sehingga lumat. Untuk mengurangkan bau dan rasa yang tidak menyenangkan, anda boleh menambahkan madu ke dalam jus tersebut.

Amalkan minuman ini setiap hari sebagai sajian sarapan pagi. Sebaiknya 30 minit sebelum anda mengambil makanan yang lebih berat. Jika anda lakukan secara konsisten, penyakit jantung anda akan berkurangan dan kesihatan akan bertambah baik. Ramuan ini berupaya membantu anda membersihkan mendapan lemak dalam saluran darah yang menjadi punca kepada serangan jantung.

Ia akan membantu jantung untuk kembali berfungsi dengan baik tanpa memaksa jantung anda untuk bekerja lebih keras dalam menyalurkan darah ke seluruh tubuh. Selain itu, buah mengkudu mampu mengatasi penyerapan, pembentukan dan penghasilan lemak dalam tubuh badan.

Kaedah lain penyediaan buah mengkudu adalah dengan cara potong halus buah mengkudu ranum (telah masak dan tua) yang dicampurkan bersama air masak dan halia. Kemudian, perahkan campuran tersebut dan amalkan minuman setiap hari. Minuman ini dapat membantu pembuangan kolestrol berlebihan dalam badan yang menjadi punca utama kepada penyakit jantung.

Selain penyakit jantung, buah mengkudu dapat menyembuhkan penyakit jaundice (demam kuning), penyakit buah pinggang, radang paru-paru dan penyakit batu karang. Dengan kandungan scopoletin terdapat dalam mengkudu, ia mampu menstabilkan tekanan darah dan kolestrol yang baik untuk jantung.

Jika tekanan darah adalah normal, jantung akan berfungsi secara normal. Namun, jika tekanan darah adalah tinggi dan tidak stabil, jantung juga tidak akan berfungsi dengan baik dan bekerja keras untuk menyalurkan darah keseluruhan tubuh badan. Bagi pencegahan penyakit secara sihat dan semula jadi, amalkan buah mengkudu secara teratur dan dalam kadar yang berpatutan.

Kajian berkaitan buah mengkudu

Satu penyelidikan telah dijalankan, pengkaji telah mendapati bahawa terdapat lebih kurang 61 jenis bahan berkhasiat terkandung dalam buah mengkudu. Ia berfungsi dengan sangat aktif dan misteri. Misalnya, sesetengah sebatian dalam mengkudu berupaya merawat beberapa penyakit tertentu dan memainkan peranan yang besar dalam memberi sumbangan terbaik kepada tubuh badan dengan sokongan daripada sebatian lain yang wujud didalamnya.

Oleh kerana itu, tahap keberkesanan dalam penggunaannya adalah berbeza berbanding mengamalkan jus buah mengkudu secara keseluruhan. Jika ia digunakan untuk tujuan merawat tekanan darah. Buah mengkudu berperanan dalam meningkatkan tekanan darah rendah malahan berupaya menurunkan tekanan darah tinggi menjadi kembali stabil dan pada paras normal.

Keberkesanan ini tidak akan dilihat jika anda mengamalkan buah mengkudu yang telah dijadikan ekstrak atau serbuk. Menurut Dr. Mona Harrison; penyelidik dari Fakulti Perubatan Universiti Bolton, beliau berpendapat bahawa penggunaan jus buah mengkudu dapat membantu membekalkan hormon xeronine kepada tubuh badan.

Hormon xeronine yang terkandung dalam jus buah mengkudu ini berfungsi secara kontradiktif dimana bagi penghidap tekanan darah tinggi, xeronin menurunkan tekanan darah menjadi normal, manakala bagi penghidap tekanan darah rendah, buah mengkudu mampu meningkatkan tekanan darah. Dengan erti kata lain, jus mengkudu berfungsi sebagai adaptogen yang mengimbangi fungsi sel-sel badan.

Kesimpulannya, kebaikan yang ada pada buah mengkudu sangat berguna dan memberi 1001 manfaat yang baik kepada kesihatan tubuh badan secara menyeluruh. Walaupun rupa tidak enak dipandang dan bau yang kurang menyenangkan. Ia mempunyai banyak khasiat yang jarang orang ketahui. Amalkan buah ini untuk menjaga kesihatan jantung anda dan mengelakkan diri daripada serangan penyakit jantung yang kronik.

-sumber dari Bloq

Pokok Mengkudu di taman mini herba Kosass dipantau oleh Puan Marlisha Binti Zaki .

 

 

Tarikh Input: 13/02/2019 | Kemaskini: 13/02/2019 | zulkif

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7358/ 7384
-
SXDdQAT~