WABAK KORONAVIRUS | KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
» ARTIKEL » WABAK KORONAVIRUS

WABAK KORONAVIRUS

Apa itu koronavirus dan di mana ia bermula?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak koronavirus dikesan selepas organisasi itu dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar Wuhan, di wilayah Hubei, China.

WHO dalam laman sesawangnya berkata, pihak berkuasa China pada 7 Januari lalu mengesahkan Koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

Virus itu tidak sepadan dengan virus lain yang diketahui, dan mencetuskan kebimbangan kerana tidak banyak yang diketahui mengenai virus ini seperti tahap bahayanya dan bagaimana kesan jangkitannya terhadap manusia.

"Virus baru itu adalah koronavirus, yang merupakan keluarga yang termasuk selsema biasa, dan virus seperti Sars dan Mers," katanya.

Virus baru ini buat sementara waktu dinamakan sebagai "2019-nCoV."

Bagaimana Koronavirus memberi kesan kepada manusia?

Menurut WHO, koronavirus adalah keluarga besar virus yang menyebabkan penyakit daripada selesema biasa kepada penyakit yang lebih berbahaya seperti sindrom pernafasan akut teruk (Sars) dan sindrom pernafasan Timur Tengah (Mers-CoV).

"Tanda biasa jangkitan termasuk gejala pernafasan, demam, batuk, sesak nafas dan kesukaran bernafas.

"Dalam kes yang lebih teruk, jangkitan boleh menyebabkan radang paru-paru, sindrom pernafasan akut yang teruk, kegagalan buah pinggang dan malahan membawa maut," kata organisasi kesihatan itu.

Adakah ubat atau vaksin untuk menangani koronavirus?

Menurut Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, tidak ada ubat atau vaksin untuk virus baru itu.

Beliau berkata satu-satunya rawatan yang boleh digunakan untuk pesakit positif dengan virus tersebut adalah melalui kuarantin dan merawat gejala seperti batuk, selesema dan demam.

Bagaimanapun, kerja-kerja untuk menghasilkan vaksin tersebut sedang diusahakan oleh banyak agensi kesihatan di seluruh dunia.

Menurut Wall Street Journal, beberapa pembuat ubat-ubatan di Amerika Syarikat (AS) dan penyelidik di University of Queensland di Australia kini antara pihak yang sedang bekerja keras membangunkan vaksin virus baru ini.

Apa yang harus anda lakukan untuk meminimumkan risiko dijangkiti Koronavirus?

Menteri kesihatan menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguh perjalanan ke China berikutan wabak koronavirus kecuali atas urusan penting yang tidak boleh dielakkan.

Sekiranya masih perlu melawat negara itu, mereka dinasihatkan untuk mengamalkan langkah pencegahan seperti membasuh tangan menggunakan sabun, menggunakan pensanitasi tangan dan mengenakan topeng muka.

Mereka juga dinasihatkan mengelak mengunjungi tempat tumpuan ramai, ladang haiwan ternakan, pasar yang menjual binatang hidup, pusat sembelihan dan tidak menyentuh sebarang jenis haiwan.

Semasa dalam tempoh lawatan juga, dinasihat elakkan daripada memakan sebarang produk haiwan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.

Mereka yang berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan juga perlu memaklumkan mengenai sejarah perjalanan kepada doktor yang merawat.

WHO juga turut membuat saranan yang sama.

Tarikh Input: 31/01/2020 | Kemaskini: 31/01/2020 | marlisha

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7358/ 7384
-
SXDdSAN~