SERDANG, UPM- Pada 2 Disember 2024, pertandingan Gema Seni Dikir Barat (GEMAS) yang diadakan sempena Pesta Konvokesyen ke-47 Universiti Putra Malaysia (UPM) menyaksikan persembahan penuh tradisi dan semangat persahabatan di Pentas Utama, Pentas Konvokesyen & Ekspo Pertanian. Acara yang berlangsung dari jam 8.00 malam hingga 11.00 malam ini memperlihatkan persaingan sengit antara pasukan-pasukan yang bertanding dari semua kolej.
Namun, malam gemilang itu menjadi milik pasukan Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS), atau lebih dikenali sebagai Arjuna KOSASS, apabila mereka dinobatkan sebagai juara pertandingan. Selain menyandang gelaran juara keseluruhan, pasukan ini turut memenangi dua kategori sampingan, iaitu Tok Jogho Terbaik dan Awak-Awak Terbaik.
Seorang Ahli Arjuna KOSASS, Shah Faqrul Elmi Bin Zulhasmi yang memainkan peranan sebagai Tok Jogho ketika ditemu bual, berkongsi pengalaman semasa melakukan persiapan sebelum pertandingan. Saudara Shah berkata “Pasukan kami menghadapi kekangan masa yang ketara, dengan hanya memiliki seminggu lebih untuk membuat persiapan, berbanding pasukan lain yang mempunyai tempoh tiga minggu.” Namun, kekurangan masa itu diatasi dengan semangat kerjasama yang tinggi. Ahli pasukan sanggup hadir awal untuk sesi latihan yang bermula pada pukul 8.00 malam dan berakhir hingga larut malam pada pukul 12.00 tengah malam. “Walaupun masa kami sangat terhad, tetapi semua ahli pasukan telah beri komitmen yang luar biasa.” kata Shah lagi.
Persembahan mereka pada malam itu membawa tema pertanian dan semangat setia kawan, simbolik kepada nilai-nilai murni yang ingin disampaikan melalui seni tradisional dikir barat. Kemenangan mereka disambut dengan sorakan gemuruh oleh para pelajar yang hadir.
Ketika diminta mengulas tentang kemenangan peribadinya sebagai Tok Jogho Terbaik, beliau tidak dapat menyembunyikan rasa terharu. Beliau tidak menyangka beliau akan menang kategori tersebut kerana selepas persembahan telah selesai dipersembahkan, beliau berasa sedih kerana beliau berpendapat bahawa tok jogho dari pasukan lain lebih hebat. Tetapi apabila nama beliau yang diumumkan oleh pengacara majlis, beliau berasa sangat terharu dan bersyukur. Saudara Shah turut berkata “Pasukan-pasukan lain turut memberikan saingan sengit, terutamanya dari segi persembahan awak-awak yang sangat dilakukan dengan penuh semangat dan busana yang dikenakan memukau pandangan.”
Pertandingan GEMAS kali ini bukan sahaja meraikan seni tradisi Melayu tetapi juga menjadi platform untuk memupuk semangat setia kawan dan kerja keras dalam kalangan pelajar UPM. Kemenangan Arjuna KOSASS pastinya akan menjadi inspirasi kepada pasukan lain untuk terus mengangkat martabat seni budaya bangsa.
Tarikh Input: 10/01/2025 |
Kemaskini: 23/02/2026 | zulkif
PERKONGSIAN MEDIA