SERDANG, 2026 – Program KOSASS-MUI Nexus (KMN) 2026 berjaya dilaksanakan sebagai satu inisiatif pengantarabangsaan yang memberikan peluang kepada mahasiswa Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) untuk mendapatkan pendedahan melalui lawatan akademik dan interaksi bersama institusi pengajian tinggi luar negara.
Menurut Pengarah Program, Nor Ellysha Balqis Binti Mohamad Ropi, KMN 2026 bertujuan memberikan peluang kepada mahasiswa KOSASS untuk bertukar ilmu, mengenali budaya baharu serta membina jaringan bersama mahasiswa dan pihak universiti di luar negara.
Antara pengisian utama program ialah lawatan ke Prince of Songkla University (PSU), Hat Yai Campus, sesi perkongsian dan perbincangan bersama pihak universiti serta aktiviti lawatan dan pengenalan kepada budaya setempat. Secara keseluruhannya, program berjalan dengan lancar hasil kerjasama daripada pihak pengurusan, peserta, pegawai pengiring dan pihak PSU.
Sepanjang mengendalikan program, pihak pengurusan turut berdepan beberapa cabaran, antaranya penyelarasan dengan pihak universiti luar negara, pengurusan jadual perjalanan serta beberapa perubahan dalam perancangan program. Cabaran tersebut diatasi melalui komunikasi yang berterusan, pembahagian tugas dan penyelarasan rapat antara ahli jawatankuasa, pegawai pengiring dan pihak PSU.
KMN 2026 disertai oleh 18 orang mahasiswa bersama dua orang pegawai pengiring, menjadikan keseluruhan kumpulan UPM seramai 20 orang. Sepanjang program berlangsung, suasana berada dalam keadaan baik, mesra dan profesional. Para peserta turut berpeluang berinteraksi dengan pihak PSU serta mengikuti sesi perkongsian yang memberikan pengalaman dan pendedahan baharu kepada mereka.
Mengulas mengenai pengalamannya sebagai pengarah program, Nor Ellysha Balqis Binti Mohamad Ropi melahirkan rasa gembira, teruja dan bersyukur kerana KMN 2026 dapat dilaksanakan dengan baik. Beliau turut berasa bangga melihat para peserta mengambil peluang untuk berinteraksi dengan pihak universiti luar negara dan mendapatkan pengalaman baharu.
Beliau berharap agar Program KOSASS-MUI Nexus dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan yang lebih luas serta lebih banyak kerjasama bersama institusi antarabangsa. Pengalaman yang diperoleh melalui program ini diharapkan dapat memberikan manfaat kepada para peserta serta menjadi satu pengalaman yang bermakna sepanjang kehidupan mereka sebagai mahasiswa.
Tarikh Input: 10/10/2026 | Kemaskini: 10/10/2026 | zulkif

KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN.