Petai / Parkia Speciosa | KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
» ARTIKEL » Petai / Parkia Speciosa

Petai / Parkia Speciosa

Tahukah anda apakah nutrisi yang terdapat di dalam petai dan kebaikannya kepada kesihatan kita? Artikel ini akan membincangkan mengenai khasiat kesihatan yang ada pada petai.

Pengenalan

Petai atau nama saintifiknya Parkia speciosa  adalah sejenis tumbuhan hutan hujan tropikal yang banyak ditemui di India, Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Borneo, Afrika, Madagascar dan Filipina. Ia biasanya dikenali sebagai ‘petai’ di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia, dikenali sebagai ‘sator’ di Thailand dan ‘yongchak’ di bahagian Timur Utara India.

Biji petai boleh dimakan secara mentah sebagai ulam, dijerukkan atau dimasukkan ke dalam masakan contohnya sepeti sambal petai. Tumbuhan ini juga lebih sinonim dengan baunya yang sangat kuat yang boleh menyebabkan bau yang kurang menyenangkan.  Namun begitu, bagi penggemarnya, biji petai ini sememangnya mempunyai pelbagai nutrisi yang bermanfaat untuk kesihatan.

Kandungan nutrisi

Tidak dinafikan, petai juga kaya dengan nutrisi yang baik. Perkara di bawah menunjukkan kandungan nutrisi yang ada di dalam setiap 100g biji petai.

  • Kalori: 91kcal
  • Karbohidrat: 13.2g
  • Protein: 6g
  • Lemak: 1.6g
  • Vitamin C: 19.3mg
  • Vitamin E: 4.15mg
  • Thiamin: 0.28mg
  • Kalsium: 108mg
  • Zat Besi: 2.2mg
  • Magnesium: 29mg
  • Fosforus: 115mg
  • Kalium: 341mg
  • Mangan: 42ppm
  • Zink: 8.2 ppm
  • Kuprum: 36.7ppm

Kandungan Berkhasiat Dalam Petai

Jadi, apakah yang membuatkan petai berkhasiat? Petai mengandungi beberapa kandungan penting yang boleh memberi manfaat untuk kesihatan badan kita. Antara kandungan tersebut termasuklah:

1. Mineral

Petai mempunyai pelbagai jenis mineral termasuklah kalsium,  fosforus, kalium dan banyak lagi.

Dapat dilihat bahawa setiap 100g biji petai, terdapat kira-kira 108.0 hingga 265.1 mg kalsium di dalam biji petai tersebut. Jumlah itu sebenarnya adalah lebih tinggi daripada jumlah kalsium yang ada di dalam 100g brokoli (40mg) atau pun sayur bayam (69mg). Jadi, ini menunjukkan bahawa petai sebenarnya adalah sumber kalsium yang baik. Kalsium penting untuk proses fisiologi, pembentukan tulang dan saraf di dalam badan manusia. Di samping itu, biji petai juga mengandungi tinggi kalium (341.0mg/100g) yang juga penting untuk kesihatan tulang dan jantung. Ia mampu membantu membina otot dan protein di dalam badan, mengawal tekanan darah bahkan juga mampu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

2. Vitamin

Petai juga merupakan sumber vitamin yang bagus contohnya vitamin C dan vitamin E. Vitamin adalah sejenis antioksidan yang berperanan untuk melindungi sel badan daripada kerosakan  akibat daripada radikal bebas. Ia juga penting bagi meningkatkan sistem imun badan seterusnya membantu melawan jangkitan.

Banyak kajian telah menunjukkan bahawa pelbagai bahagian petai seperti biji atau bekasnya juga mengandungi polifenol dan flavonoid seperti catechinquercetin dan gallic acid. Di samping itu, petai juga mengandungi tannin dan saponin yang juga mempunyai sifat antioksidan dan antiradang.

Selain itu, kajian juga melaporkan bahawa biji petai juga mengandungi turpenoid dan steroid seperti β-sitosterolstigmasterollupeol dan campesterol. Komponen seperti lupeol juga mempunyai ciri-ciri antikarsinogenik dan antiradang yang boleh membantu melawan penyakit.

12 Khasiat petai kepada kesihatan

Memandangkan petai mempunyai beberapa komponen yang penting untuk kesihatan, ia sekaligus memberi khasiat kepada kesihatan kita. Berikut adalah beberapa khasiat petai kepada kesihatan:

  1. Membantu menangani stres

    Tekanan atau stres adalah tindak balas fizikal, emosi dan mental seseorang terhadap sebarang perubahan atau keadaan. Secara amnya, stres yang baik atau sederhana boleh membantu seseorang menjadi lebih produktif. Namun begitu, tekanan yang tinggi dan tidak terkawal boleh membawa kepada depresi atau kemurungan. Stres ini boleh dilihat melalui simptom seperti kurang minat terhadap aktiviti harian atau perubahan emosi seperti sentiasa sedih, kurang sabar dan cepat marah.

    Tinjauan yang dilakukan terhadap orang yang mengalami tekanan mendapati bahawa pengambilan petai boleh memberi rasa lebih baik dan tenang. Selain itu, kajian yang dijalankan terhadap tikus juga menunjukkan bahawa ekstrak biji petai sebanyak 200 dan 400 mg/kg mempunyai potensi untuk menangani stres. Hal ini kerana petai mengandungi sejenis protein dikenali sebagai trytophan yang akan bertukar kepada serotonin yang berperanan untuk meningkatkan  emosi seterusnya memberi rasa selesa, senang dan gembira. Oleh itu, jelaslah petai juga mampu memberi mood yag lebih baik. Di samping itu, trytophan yang ada di dalam petai juga mampu meningkatkan kualiti tidur seseorang.

    2. Aktiviti antioksidan

    Biji petai juga tinggi dengan antioksidan seperti polifenol, flavonoid  dan vitamin C. Aktiviti daripada antioksidan ini mampu membantu badan bagi melawan radikal bebas sekaligus memberi kebaikan kepada kesihatan tubuh badan. Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa biji petai mengandungi kandungan sulfur yang tinggi yang boleh menghasilkan gas hydrogen sulfida yang mempunyai tinggi aktiviti antioksidan dan juga boleh membantu mengelak serangan penyakit jantung.

    Di samping itu, kajian juga membuktikan bahawa bukan saja biji petai yang tinggi aktiviti antioksidan, bahkan daun dan bekasnya yang kebiasaan dibuang juga mempunyai aktiviti antioksidan seterusnya mampu membantu melawan penyakit.

    3. Berpotensi mencegah kanser

    Selain itu, biji petai juga berpotensi untuk mencegah penyakit kanser. Hal ini kerana biji petai mempunyai aktiviti antitumor yang tinggi dan boleh melawan sel kanser. Kajian yang dijalankan di Thailand juga mendapati bahawa pengambilan biji petai yang mentah mampu mencegah kejadian kanser esofagus.

    4. Mengawal paras gula dalam darah

    Petai juga mampu mengawal dan menurunkan paras gula dalam darah. Menurut kajian yang dilakukan terhadap tikus yang mempunyai masalah diabetes, biji petai mempunyai aktiviti hypoglisemik yang tinggi seterusnya mampu menurunkan paras gula dalam darah. Hasil kajian itu menunjukkan bahawa pengambilan 0.4g/kgBW biji petai oleh tikus tersebut mampu menurunkan sehingga 57% paras gula dalam darah. Hal ini kerana petai mengandungi sterol tumbuhan seperti β-sitosterol dan stigmasterol yang mampu menurunkan kadar gula dalam darah.

    5. Baik untuk kesihatan jantung

    Petai juga baik untuk kesihatan jantung memandangkan ia mampu mengawal tekanan darah. Hal ini kerana petai mempunyai kalium yang tinggi namun rendah garam yang boleh membantu menurunkan tekanan darah tinggi sekaligus mengelakkan serangan penyakit jantung. Aktiviti antioksidan di dalam biji petai jugak berpotensi untuk mencegah penyakit jantung.

    Biji petai juga mengandungi omega-3 dan omega-6 yang baik untuk kesihatan jantung. Di samping itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan khasiat ekstrak bekas petai dalam mengawal tekanan darah tinggi dan mempunyai kesan perlindungan kardio di dalam tikus. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa bukan biji petai saja yang berupaya menjaga kesihatan jantung, bahkan bekasnya yang sering dibuang juga berguna.

    6. Boleh mengurangkan keradangan

     

    Kajian juga menunjukkan petai mempunyai sifat antiradang. Oleh itu, kerana sifatnya yang antiradang, petai juga mampu mengelakkan keradangan yang boleh membawa kepada pelbagai jenis masalah kesihatan seperti kanser, penyakit neurologikal, gangguan metabolik (seperti diabetes) dan penyakit kardiovaskular.

    7. Antimikrobial

    Petai juga mempunyai sifat antimikrobial yang boleh membantu mencegah jangkitan dalam badan manusia. Hal ini kerana biji petai mengandungi komponen seperti hexathionine dan trithiolane yang mampu memberi sifat antimikrobial dalam biji petai. Kajian menunjukkan sifat antimikrobial biji petai mampu menghalang pertumbuhan mikroorganisma seperti Aeromonas hydrophila, Staphylococcus aureusStreptococcus agalactiaeStreptococcus anginosus, dan Vibrio parahaemolyticus.

    Oleh itu, pengambilan biji petai mampu menghalang pertumbuhan organisma tersebut sekaligus mampu mencegah penyakit yang berkaitan dengan mikroorganisma tersebut.Contohnya, jangkitan yang disebabkan oleh bakteria Staphylococcus aureus boleh menyebabkan masalah seperti bisul, jerawat dan abses iaitu jangkitan kulit yang sangat mudah berjangkit.

    8. Aktiviti antiulcer

    Ulser atau ulser peptik ialah luka terbuka yang terdapat di bahagian dalam lapisan perut, bahagian atas usus kecil atau esofagus. Ia biasanya menyebabkan rasa sakit seakan terbakar dan boleh menjadi bertambah sakit apabila asid perut terkena kawasan ulser. Kajian yang dilakukan terhadap tikus telah mendapati bahawa biji petai mampu mengurangkan kadar ulser gastik di dalam tikus kerana sifat antiulcernya dan mampu mengurangkan sifat pH asid gastrik di dalam tikus tersebut.

    9. Bagus untuk tulang dan gigi

    Oleh kerana nutrisinya yang tinggi kalsium dan fosforus, petai juga bagus untuk tulang. Fosforus  penting untuk gigi yang sihat, melindungi tulang dari osteoporosis, serta mampu menyokong fungsi sel di dalam badan.

    10. Mencegah anemia

    Di samping itu, petai juga boleh membantu mencegah penyakit anemia, iaitu keadaan di mana seseorang mempunyai masalah kekurangan sel darah merah. Hal ini kerana petai juga mempunyai zat besi yang boleh merangsang dan meningkatkan pembentukan hemoglobin dalam darah sekaligus mampu mencegah anemia. Kajian yang dijalankan terhadap tikus menunjukkan bahawa ekstrak biji petai mampu meningkatkan paras hemoglobin di dalam tikus tersebut. Oleh itu, jelaslah bahawa petai mampu meningkatkan penghasilan hemoglobin dalam darah.

    11. Baik untuk sistem penghadaman

    Petai juga baik untuk sistem penghadaman sekaligus mampu mengelakkan masalah berkaitan sistem penghadaman seperti sembelit. Hal ini kerana petai juga mengandungi serat yang mampu meningkatkan kadar pergerakan usus,  meningkatkan saiz najis dan melembutkannya,  memudahkan najis untuk melalui usus sekaligus melancarkan sistem penghadaman makanan.

    12. Membantu berhenti merokok

    Merokok boleh membahayakan kesihatan dan individu yang merokok sentiasa dinasihatkan untuk berhenti merokok. Salah satu cara untuk berhenti merokok adalah dengan memakan petai  kerana petai juga boleh membantu individu yang berusaha untuk berhenti merokok. Hal ini kerana petai juga mengandungi komponen seperti vitamin B6 dan B12, kalium dan magnesium yang boleh membantu tubuh melawan ketagihan nikotin sekaligus menghentikan tabiat merokok.

    Kesimpulan

    Kesimpulannya, jelaslah bahawa petai kaya dengan nutrisi seperti serat, vitamin, mineral dan antioksidan yang boleh memberi kebaikan kepada kesihatan kita. Petai mempunyai pelbagai khasiat seperti mampu menangani stress, berpotensi mencegah kanser,  mengawal tekanan darah dan mencegah penyakit jantung, tinggi aktiviti antioksidan dan mengurangkan keradangan. Petai juga bagus untuk tulang dan gigi, mampu mencegah masalah anemia, baik untuk sistem penghadaman dan juga mampu membantu untuk berhenti merokok.

    Namun begitu, baunya yang kuat kadang-kadang menghalang niat seseorang untuk mengambil petai. Antara cara yang boleh dilakukan untuk menghilangkan bau petai adalah seperti berkumur dengan air garam, mengunyah beras atau mengambil kopi atau teh tanpa gula.

    Akhir sekali, diharapkan artikel ini dapat memberi manfaat kepada pembaca mengenai khasiat petai

*SUMBER BLOG

 

Tarikh Input: 10/01/2023 | Kemaskini: 10/01/2023 | zulkif

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7358/ 7384
-
SXDdVAN~