
Oleh: Qurratus Safwah
SERDANG, 10 Januari- Seramai 381 penghuni kolegiat Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS), Universiti Putra Malaysia(UPM) dari berbagai-bagai latar belakang pendidikan dan pengajian telah menceburkan diri dalam Projek Gempur Tani KOSASS (PGTK), di sini, baru-baru ini.
Kebun PGTK ini menjalankan tanaman sayur-sayuran seperti sawi, kangkung dan buah naga secara konvensional di Tapak Pertanian A manakala tanaman di Tapak Pertanian B menggunakan sistem fertigasi dengan menempatkan tanaman cili.
Ketua Projek Projek Gempur Tani KOSASS (PGTK), Muhammad Alif Amirul berkata hasil tanaman segar seperti kangkung, sawi dan buah naga telah dipasarkan di kedai makan serta kolej-kolej sekitar UPM mengikut hari dan masa tempahan yang diminta oleh para pelanggan.

Selain memasarkan hasil tanaman di sekitar UPM, tempahan secara atas talian juga diterima daripada pelanggan luar UPM yang berminat untuk mendapatkan hasil tanaman PGTK.Pengambilan tempahan dijalankan melalui dua cara, iaitu penghantaran terus (COD) yang dikenakan caj dan pengambilan sendiri( self-pickup) .Katanya kelab PGTK juga merancang untuk meneruskan inisiatif tanaman yang sedia ada dan bercadang untuk menjalankan penternakan ayam yang akan bermula pada semester kedua bagi sesi 2024/2025. Persiapan yang teliti dan rapi telah dilaksanakan seperti pembinaan reban ayam,alat-alatan yang diperlukan serta benih ayam. “Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan KOSASS yang telah menyediakan tempat pertanian dan modal yang berterusan.

“Pihak pengurusan KOSASS juga sentiasa menyediakan kelengkapan untuk menjalankan aktiviti serta kemudahan sistem pengairan yang sistematik kepada tapak pertanian.” Katanya.
Tambahnya lagi, kesinambungan kelab melalui PGTK menjadi contoh terbaik untuk menggalakkan belia menceburi bidang pertanian. -UPM
Tarikh Input: 13/01/2025 | Kemaskini: 13/01/2025 | zulkif

KOLEJ SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN.