» GREEN SUSTAINABILITY » A Platform for Knowledge Collaboration and Agricultural Community Empowerment
A Platform for Knowledge Collaboration and Agricultural Community Empowerment
KOSASS, 11 Oktober 2024 – Tapak A dan B Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS), Universiti Putra Malaysia, menjadi saksi kepada penganjuran Projek Agroshare KOSASS yang julung kali diadakan, hasil inisiatif Kelab Projek Gempur Tani KOSASS (PGTK) dengan kerjasama Sekretariat Kelestarian Hijau dan Keterjaminan Makanan, Sekretariat Kesukarelawanan dan Antarabangsa, serta Majlis Perwakilan Kolej (MPK) bagi sesi 2024/2025.
Program ini berjaya menghimpunkan 25 orang pelajar dan 3 orang pemantau dari Universitas Teuku Umar (UTU), Indonesia, serta melibatkan 6 orang ahli tertinggi Kelab PGTK dan 2 orang felo pemantau. Para peserta telah menjalani pelbagai aktiviti berbentuk komuniti dan kemahiran pertanian, termasuk latihan praktikal dalam penanaman pokok buah naga dan cili, serta teknik penjagaannya secara sistematik.
Keunikan program ini terserlah melalui pendekatan berkelompok bersama felo pemantau yang berpengalaman, memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara dekat, bertukar pandangan, dan mendalami ilmu pertanian secara langsung. Program ini juga mencerminkan aspirasi “Pertanian untuk Rakyat” yang bertujuan menyemai minat dalam kalangan generasi muda terhadap bidang pertanian, selaras dengan matlamat pembangunan lestari.
Menurut penganjur, kolaborasi ini bukan sekadar pertukaran ilmu, malah diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada jaringan kerjasama berterusan antara KOSASS dan UTU, terutama dalam memajukan aktiviti kelab pertanian kedua-dua institusi. Para peserta juga diyakini bakal membawa pulang pengalaman berharga yang mampu menyumbang kepada pembangunan diri dan komuniti mereka.
Program Agroshare ini sekali gus membuktikan bahawa pertanian bukan sahaja penting untuk keterjaminan makanan, malah berpotensi sebagai sektor keusahawanan masa hadapan, sejajar dengan slogan yang diangkat, “Pertanian adalah Perniagaan.”
Disediakan oleh: Kelab Projek Gempur Tani KOSASS Sesi 2024/2025