
Pulau Redang, Terengganu – Program Usahawan Siswa Island Care (USIC) 2026 berjaya dilaksanakan dengan jayanya selama tiga hari dua malam di Pulau Redang, sekali gus memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan ekosistem marin.
Menurut Pengarah Program, Sharul Lokman, penganjuran USIC 2026 bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan mahasiswa terhadap kepentingan menjaga alam sekitar, khususnya hidupan marin seperti penyu. Selain itu, program ini turut menerapkan nilai kepimpinan, kesukarelawanan, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial, di samping mengeratkan hubungan antara mahasiswa, komuniti setempat serta rakan strategik.
Pulau Redang dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana terkenal dengan keindahan alam semula jadi serta kekayaan biodiversiti marin. Kehadiran kawasan konservasi penyu yang aktif menjadikan pulau ini lokasi yang sesuai untuk memberi pengalaman pembelajaran secara langsung kepada peserta berkaitan usaha pemuliharaan alam sekitar.
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai aktiviti seperti CSR pembersihan pantai (Beach Clean-Up), sesi pendidikan mengenai pemuliharaan penyu, lawatan ke kawasan konservasi penyu, aktiviti menggali kawasan penetasan anak penyu bersama pihak pengurusan konservasi, selain aktiviti pembangunan sahsiah, kerja berpasukan dan sesi refleksi.
Walaupun berdepan sedikit perubahan jadual akibat faktor cuaca dan perjalanan bot, keseluruhan program berjaya dilaksanakan mengikut perancangan hasil kerjasama erat antara jawatankuasa, peserta, pihak resort, pengusaha bot dan rakan strategik.
Program ini turut memberi impak positif kepada peserta dengan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar serta memberi pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah. Selain memperoleh pengetahuan mengenai usaha konservasi penyu, peserta juga berjaya mengembangkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan semangat kesukarelawanan. Pada masa yang sama, program ini membantu menyokong usaha komuniti setempat dalam meningkatkan kesedaran terhadap kebersihan pantai dan pemuliharaan hidupan marin.
Mengulas mengenai cabaran penganjuran, Sharul Lokman berkata antara cabaran utama sebelum program ialah penyelarasan jadual peserta, urusan kelulusan, penajaan dan logistik. Semasa program pula, jawatankuasa perlu mengurus perubahan jadual akibat cuaca serta memastikan keselamatan peserta sepanjang aktiviti dijalankan. Selepas program, fokus diberikan kepada penyediaan laporan, dokumentasi dan tuntutan kewangan.
Beliau menjelaskan bahawa segala cabaran tersebut berjaya diatasi melalui perancangan yang rapi, komunikasi yang berkesan serta penyediaan pelan alternatif bagi menghadapi sebarang situasi di luar jangkaan. Semangat kerjasama daripada semua pihak menjadi faktor utama kejayaan penganjuran program.
Sambutan yang diterima daripada peserta juga amat memberangsangkan apabila mereka memberikan komitmen tinggi dan mengambil bahagian secara aktif dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Kerjasama baik daripada pihak resort, pengusaha bot serta pusat konservasi penyu turut memastikan semua pengisian program berjalan dengan lancar.
Mengakhiri temu bual, Sharul Lokman melahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan pelaksanaan Program USIC 2026. Beliau berharap program ini dapat diteruskan sebagai program tahunan dengan penyertaan yang lebih ramai daripada mahasiswa, penaja dan rakan strategik supaya manfaatnya dapat diperluaskan. Beliau turut berharap USIC akan terus menjadi platform yang melahirkan mahasiswa berjiwa sukarelawan, berdaya kepimpinan serta mempunyai kesedaran tinggi terhadap kelestarian alam sekitar.


Date of Input: 16/07/2026 | Updated: 16/07/2026 | zulkif

SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH COLLEGE
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN.