CIVIL YOUTH, YOUTH WITH INTEGRITY | SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH COLLEGE
» NEWS » CIVIL YOUTH, YOUTH WITH INTEGRITY

CIVIL YOUTH, YOUTH WITH INTEGRITY

SERDANG,UPM- Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Sesi 2023/2024 dengan kerjasama Kesatuan Mahasiswa, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) dan Pengurusan Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) telah mengadakan Bicara Integriti @ KOSASS 2.0: Belia Madani: Memimpin Dengan Integriti dan Kemanusiaan yang merupakan subprogram di bawah Mega Festival KOSASS (MEGA FESKOS) 2024. Program ini telah diadakan pada 28 April 2024 (Ahad) dari jam 8.30 malam hingga 11.30 malam bertempat di Dataran Merpati, KOSASS.
Program yang menjadi sekuel kepada Bicara Integriti @ KOSASS 1.0 sesi terdahulu ini telah dihadiri seramai 150 kolegiat dan bertujuan untuk menerapkan nilai integriti, kejujuran dan kemanusiaan dalam kalangan belia sebagai titik tolak persediaan diri memegang tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan, selari dengan tajuk yang dipilih iaitu ‘Memimpin Dengan Integriti dan Kemanusiaan’. Penganjuran program kali ini tampil berbeza daripada sesi yang lepas kerana buat julung kalinya diadakan secara fizikal di kawasan lapangan yang terbuka dan menggabungkan dua slot di mana slot pertama bertajuk Career Day Talk 2.0: Integriti Pengurusan Kewangan Belia dan diteruskan dengan forum pada slot kedua bertajuk Belia Madani: Memimpin Dengan Integriti dan Kemanusiaan.
Slot pertama telah dihoskan oleh Encik Muhammad Shahman bin Shahrom yang juga merupakan alumni KOSASS graduan tahun 2017. Beliau telah mengetengahkan isu integriti yang didefinisikan sebagai memiliki jati diri yang kukuh, ikhlas dan bertanggungjawab dalam tugasan, khususnya dalam pengurusan kewangan kendiri. Melihat kepada statistik graduan yang ‘muflis’ usai bergraduat, beliau telah berkongsi beberapa cara untuk mengatasi masalah tersebut seperti mengenal pasti keperluan dan kemahuan, merekod perbelanjaan harian melalui aplikasi digital seperti Wallet Story dan MAE serta melaburkan wang dengan syarikat berdaftar dengan Bank Negara Malaysia.
Slot Kedua diteruskan dengan sesi forum santai bersama dua orang panel jemputan iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid bin Arshad, mantan pengetua KOSASS dan Encik Muhammad Izzad Daniel bin Abdullah iaitu pempengaruh media sosial dan penceramah bebas. Kedua-dua panel jemputan telah mengupas isu integriti dengan lebih mendalam melalui pendapat dan pengalaman masing-masing. Antara tumpuan utama forum ini adalah ketika Encik Izzad Daniel berkongsi kisah penghijrahan dirinya daripada seorang penagih dadah kepada seorang figura hebat pada hari ini. Kisah hidup beliau ternyata amat menyentuh hati kerana beliau telah terpisah oleh keluarga kandungnya atas kekangan kewangan seterusnya terjebak dengan kancah penagihan dadah kerana pengaruh rakan sebaya. Namun, berkat azam yang kuat untuk berubah, beliau berjaya keluar dari lorong kegelapan dan akhirnya menemui tujuan sebenar hidupnya.
Saudari Nurul Adreana Natasha binti Abdullah selaku pengarah program yang juga menjawat jawatan Sekreteriat Integriti dan Perpaduan ketika ditemu bual menzahirkan perasaan gembira kerana sambutan program kali ini amat memberangsangkan dan di luar ekspetasi. Beliau juga mengambil kesempatan ini untuk meluahkan jutaan penghargaan buat kru di sebalik tabir yang telah bertungkus lumus dan bersengkang mata demi menjayakan program ini walaupun di tengah-tengah kesibukan minggu akademik. Diharapkan agar program seumpama ini akan diteruskan oleh wajah-wajah baharu Sekreteriat Integriti dan Perpaduan sesi hadapan dengan mengetengahkan isu yang lebih menarik serta berharap agar para peserta mendapat sedikit sebanyak input bermanfaat daripada program ini.
 

Date of Input: 15/05/2024 | Updated: 15/05/2024 | zulkif

MEDIA SHARING

SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH COLLEGE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1980/1978
-
S, (03:03:31pm-03:08:31pm, 18 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]