STRATEGIC GLORY IN THE DIGITAL ARENA | SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH COLLEGE
» NEWS » STRATEGIC GLORY IN THE DIGITAL ARENA

STRATEGIC GLORY IN THE DIGITAL ARENA

 

 

SERDANG, UPM - Pada 5 Januari 2025 di Dewan Serbaguna Universiti Putra Malaysia (UPM), Pasukan E-Sports MLBB Lelaki Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) telah merangkul johan dalam Kejohanan Sukan Kolej Universiti Putra Malaysia (SUKPRA) sesi 2024/2025. Pasukan KOSASS B telah menunjukkan prestasi yang luar biasa dengan mengalahkan pasukan dari kolej-kolej lain, sekali gus membawa pulang gelaran juara yang dinantikan.
Ketika ditemu bual, Encik. Muhammad Akmal Bin Wanahari, pengurus pasukan E-Sports KOSASS, yang turut menguruskan beberapa pasukan lain sebelum ini, berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi. Beliau menyatakan bahawa, tiada cabaran besar yang timbul, tetapi jadual latihan yang fleksibel telah menjadi kunci utama kepada kejayaan pasukan. Selepas sesi pemilihan pemain, latihan tidak diadakan setiap hari untuk menghormati kesibukan pelajar. Namun, menjelang dua minggu terakhir sebelum kejohanan, latihan intensif diadakan termasuk scrim dengan kolej lain dan perlawanan ranked, yang membantu membina keserasian dalam pasukan.
“Cabaran sebenar adalah untuk membina hubungan baik diantara pemain,” ujar beliau. Menurutnya, walaupun latihan yang dilaksanakan tidak kerap, keupayaan pasukan untuk bekerjasama sebagai satu unit telah menjadi faktor utama kejayaan mereka. Pasukan KOSASS B ini juga telah membuktikan kemampuan mereka, walaupun pasukan KOSASS A dan pasukan wanita tersingkir awal dalam peringkat kumpulan.
Sepanjang pertandingan, perasaan teruja dan tidak percaya menyelubungi pengurus pasukan. “Saya tidak menjangka pasukan KOSASS B mampu mara sejauh ini kerana sejarah pasukan e-sports KOSASS sering terhenti di peringkat awal,” tambah beliau. Namun, setelah pasukan itu berjaya melangkah ke separuh akhir, beliau mula melihat potensi mereka untuk membawa pulang kemenangan.
Menurut pengurus, motivasi utama pasukan adalah untuk menebus kekalahan pasukan KOSASS yang lain dalam kejohanan tersebut. Pasukan ini ingin membuktikan bahawa KOSASS tetap mampu mencapai kegemilangan dalam arena e-sports. “Pasukan ini ibarat mutiara KOSASS, dengan potensi besar untuk bersinar di peringkat lebih tinggi seperti MSL, MAL, atau MPL,” katanya, memuji kehebatan dan bakat luar biasa yang ditonjolkan oleh pemain.
Sebagai penutup, kejayaan pasukan ini wajar dibanggakan kerana telah membawa nama KOSASS ke persada arena e-sports. Diharapkan pasukan ini dapat terus mengekalkan momentum dan kerjasama sebagai satu pasukan agar pada kejohanan akan datang, KOSASS terus unggul sebagai juara.

Date of Input: 05/02/2025 | Updated: 05/02/2025 | zulkif

MEDIA SHARING

SULTAN ALAEDDIN SULEIMAN SHAH COLLEGE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1980/1978
-
X, (04:34:48am-04:39:48am, 13 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]